Wednesday, 6 July 2011

PANDANGAN HADAPAN

REKABENTUK PANDANGAN HADAPAN KEDIAMAN 

JENIS RUMAH KEDIAMAN SESEBUAH (BANGALOW)


Sesuatu yang diinginkan oleh setiap pemilik rumah ialah dapat membina sebuah rumah kediaman yang cantik dipandang dan disukai oleh setiap orang yang melihatnya. Namun suatu perkara yang tidak disedari oleh mereka ialah bila disebut sahaja "rumah kediaman" pastinya beberapa komponan berikut wajib disediakan. mengikut kemampuan kewangan mereka. 

Biasanya keinginan akan terbantut kerana sumber kewangan yang terhad.  Tidak kira sama ada rumah itu kecil atau besar, komponan yang dimaksudkan itu pasti disediakan. Berasaskan kepada kemampuan kewangan tadi, komponan yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut.

1.  Keluasan binaan.
     Ramai daripada pemilik biasanya mampu menyediakan keluasaan binaan sekitar 1,700kp hingga 3,000kp.

2.  Keperluan bilik tidur dan bilik air/tandas
     Daripada keluasan di atas, keperluan bilik tidur adalah maksima 5 unit dan 3-4 unit bilik air.
3.  Ruang tamu/tv dan ruang makan.
     Ramai daripada pemilik menginginkan 3 ruang tamu iaitu Ruang Tamu lelaki, Ruang tamu Wanita. Ruang ketiga ialah untuk tv. Atau ruang tv dan ruang tamu wanita digabungkan bersama. Ruang yang keempat ialah Ruang Makan.
4.  Ruang dapur. 
     Biasanya dapur dipecahkan kepada dua ruang iaitu Dapur Basah dan Dapur Kering.
5.  Porch kereta dan beranda.

KONSEP BINAAN

Sesuatu yang jarang terfikir oleh pemilik ialah keinginan mencipta satu rekabentuk rumah yang berlainan daripada biasa orang ramai membinanya. Rekabentuk yang kebanyakan orang ramai bina ialah berbentuk kotak (satu tingkat atau dua tingkat). Semua komponan di atas dikumpulkan didalam kotak tersebut. Kemudian ciri-ciri tersendiri pada rumah masing-masing adalah terletak kepada bentuk bumbung, hiasan luaran, binaan dinding bersegi atau separuh bulat, dan sebagainya.

Walaupun kemampuan seseorang pemilik membina rumah kediaman mereka mencecah 7,000kp, tidak ramai daripada mereka yang berfikir untuk membina sebuah kediaman bercirikan perkara-perkara berikut: 

1.  Konsep Hukum Islam.
     Apabila semua komponan dikumpulkan dalam satu kotak, maka pengasingan tetamu bukan muhrim tidak dapat dilaksanakan. Sikap semula jadi masyarakat Melayu ialah suka mempelawa satu keluarga tetamu (bukan muhrim) menginap dirumah itu dan bergaul dengan bebasnya bersama keluarga pemilik rumah. Tanpa disedari boleh mendatangkan syak wasangka dan perlakuan kurang manis dikalangan mereka. 

  Walhalnya pengasingan pergaulan boleh dilaksanakan sekiranya setiap pemilik memiliki jiwa Islam dan mengutamakan Hukum Islam. Hanya dengan sedikit perubahan rekabentuk, rumah yang mengasingkan bilik tetamu diluar kotak rumah itu menjadikan aurat penghuni akan terlindung dari pandangan tetamu dan sebaliknya.

2. Mesra Alam 
    Iaitu kediaman yang dingin hasil dari alam persekitaran (bukan daripada penggunaan penghawa dingin), Dunia kehidupan yang dibentuk oleh pemilik kepada sesebuah rumah mereka pada masa kini ialah mengasingkan kehidupan dalam rumah dengan persekitaran luar rumah.  

    Telah menjadi lumrah masyarakat Melayu sekarang, apabila pulang dari kerja, meletakkan kereta ditempatnya, masuk kedalam rumah dan terus ditutup pintu rapat-rapat dan dikunci. Kamudian terciptalah sebuah kehidupan berkeluarga didalam rumah. Hiduplah mereka itu didalam penjara yang dicipta sendiri.
Kebanyakan rumah kediaman yang dibina akan memiliki jendela yang cantik dan berbagai-bagai bentuk tetapi tidak berfungsi untuk laluan udara, pintu yang berukir-ukir tapi jarang dibuka, beranda yang memiliki rupa bentuk yang berbagai-bagai tetapi hanya digunakan untuk sidaian pakaian dan sebagainya.
 
Maksudnya hawa dingin luar rumah tidak dapat menyerap masuk kedalam rumah bagi membolehkan kedingan itu dirasai juga didalam rumah. Akhirnya bila sahaja rumah itu dimasuki, hawa kepanasan dalam rumah begitu hangat walaupun diluar rumah berlakunya hujan atau berhawa sejuk. 
Lalu untuk mendinginkan hawa dalam rumah konon, dipasangnya kipas sepanjang masa. Yang jelas, walaupun kipas dipasang disetiap ruang dalam rumah, suasana tetap hangat kerana semua jendela dan pintu tertutup rapat sejak dari pagi. Tujuh hari seminggu, tiga puloh hari sebulan dan sepanjang tahun. kecuali kadang-kadang iaitu pada hari raya dan pada sesuatu majlis kenduri.
3. Mesra Tetamu.
    Ia dimaksudkan kepada susunan komponan dalam rumah. Bila susunan komponan bilik dicipta sedemikian rupa, menjadikan setiap tetamu yang datang akan layak memasuki setiap ruang dalam rumah. Paling jelas apabila seseorang tetamu memerlukan bilik air, pastinya mereka harus masuk lebih kedalam rumah atau ke ruang dapur atau kesuatu bilik tidur. Tetamu berpeluang melihat seluruh ruang dalam rumah bahkan terpaksa bercampur dengan ahli keluarga. Sebenarnya percampuran (tidak sengaja?) seperti ini tidak digalakkan dalam Islam.

4. Santai
   Tidak banyak daripada runah-rumah yang dibina, menyediakan kemudahan bersantai diluar rumah untuk keselesaan tetamu. Kita orang Melayu biasanya akan menerima dua jenis tetamu iaitu tetamu yang datang menginap satu atau dua malam dan tetamu yang datang sekejap. Bagi mengharmati tetamu, bila mereka datang, kita akan terus mempelawa mereka masuk kedalam rumah. Bila urusan telah selesai, tetamu terus pulang. Kita tidak suka membiarkan tetamu duduk diluar (kenapa - kurang ajar?) atau sememangnya ruang halaman rumah kita yang bersepah, kotor dan ketiadaan tempat untuk diduduki.
  Maksud bersantai disini ialah menerima tetamu sekadar luar rumah. Mereka dapat menikmati lebih kepuasan sebagai tetamu semasa berada diluar rumah, melihat persekitaran, disediakan minuman ringan dan berbual mesra membina masyarakat mengiratkan silatulrahim.
Apabila layanan yang diberi sehingga memasuki dalam rumah, nampak seperti terlalu rasmi. Malangnya apabila mereka ke bilik air, akan nampaklah segala kecelaruan dan kelemahan dalam rumah kita seperti keserabutan rumah yang tidak dikemas, aurat anak-anak bahkan aurat isteri kita sendiri. walaupun rumah kita sentiasa kemas dan bersih, tidak sepatutnya tetamu diberi peluang menerokai seluruh ruang rumah. Kerasmian mengharmati tetamu ber Adat Melayu dengan menunjukkan segala kelengkapan dalam rumah tidak digalakkan dalam Islam.
Seorang Pak Arab bersama Mat Salleh Islam telah bertandang ke rumah kami suatu ketika dahulu. Soalan yang sama ditanya oleh mereka ialah "Kenapa setiap rumah orang Melayu yang terkenal dengan keperibadian Islam, tidak menyediakan bilik air diluar rumah untuk tetamu, bagi membolehkan kami menggunakannya apabila perlu"?
Jawab saya, "Sudah menjadi resmi orang Melayu, apabila tetamu perlukan bilik air, mereka dibenarkan masuk kedalam rumah".
Jawab mereka. "Itu bukan ciri-ciri Islam"

5. Faedah dari Segi Kesihatan Diri
    Kebanyakan pemilik mampu membina rumah yang cantik dengan rekaan terkini tetapi ramai daripada mereka gagal mengekalkan kecantikan rumah tersebut sepanjang masa.  Selepas beberapa tahun rumah yang cantik itu telah hilang serinya. Sebab utama adalah kerana keperibadian pemilik itu sendiri.
    Kata orang untuk:
    a. Menilai kerajinan sang suami lihatlah persekitaran rumahnya.
    b. Menilai kebagusan sang isteri lihatlah dalam rumahnya.  

Adalah suatu faedah yang amat besar yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita, apabila kita rajin menghias  dan membersih rumah diluar (halaman) dan didalam rumah. Jika kita ingin menjaga kesihatan diri, jadikan lah  membersih rumah sebagai satu tugasan harian, mingguan dan sepanjang masa untuk membersih rumah. (Kebersihan separuh daripada Iman). Pada sebuah rumah, terlalu banyak perkara yang dituntut untuk dijaga dibersih dan dicantikkan.

Apabila kita akur dan taat menjaga kebersihan rumah, hasil yang kita perolehi terlalu banyak. Badan jadi sihat, rumah jadi cantik, membentuk disiplin diri dan keluarga, mendidik anak-anak supaya lebih bertanggungjawab dan sebagainya. Yang paling penting ialah penghayatan nilai-nilai Islam dan merasai keagungan Illahi diatas segala nikmat yang diberiNya.

Semua manusia cintakan kecantikan tetapi apabila sikap MALAS menjadi raja, semua perkara tersebut sanggup diketepikan. Bolehkan kita menjadi seorang penganut Islam yang sempurna jika rumah kediaman kita sendiri kelihatan kotor?

PINTU MASUK UTAMA. 
Bersebelahan dengan porch kereta. 

Jika diperhatikan kepada rumah ini, keseluruhan bahan binaan kayu yang digunakan untuk hiasan dan struktur bumbung adalah daripada bahan-bahan terpakai. Ia dikutip merata-rata, dibersihkan dan digunakan semula. 
1. Konkrit driveway dibuat sendiri, dimana mould ditempah. Berukuran 12in x 12in. Bila dibuat sendiri rupa-rupanya lebih mahal daripada beli dipasaran. Namun yang indahnya ialah, bila sudah terhasil, akan menikmati satu kepuasan tersendiri kerana rekabentuk yang berlaian dari rumah-rumah lain. 

2. Ukiran kayu pada fascia rumah ini semuanya daripada papan terbuang, dinding rumah lama yang tidak diperlukan oleh pemilik asal. Bila ada sedikit kesungguhan dengan membeli mesin berharga RM300, dan di ukir sendiri mengikut idea daripada rumah2 lama, beserta sedikit kesabaran, maka inilah yang terhasil. Mungkin ia tidak menarik perhatian tuan-tuan, namun bagi saya ia adalah hasil ciptaan sendiri untuk tatapan harian.

 3. Gambar di bawah menunjukkan pemasangan jendela lama kepada rumah. Jendela itu adalah bahan buagan daripada projek kerajaan di Kuala Lumpur. Dikutip semula dikawasan pembuangan sampah di Gombak, dibersih dan dipasang dirumah ini. Pastinya bila siap nanti dan dicat semua, ia akan kelihatan cantik semula.

 LALUAN MASUK UTAMA
Didalamnya terdapat 3 ruang utama. Ruang tengah adalah Ruang Rehat, Foyer, akan dijadikan ruang istirehat terbuka untuk tetamu. Akan dilengkapi dengan set kerusi rehat dan tv. Di kiri dan kanan pula adalah Bilik Tamu. Sebelah kanan 2 bilik tidur lengkap dengan bilik air berasingan.Sebelah kiri pula dibina 2 tingkat, mengandungi 4 bilk tidur. 2 bilik di atas dan 2 bilik di bawah.

PANDANGAN LUAR 'RUMAH TAMU'

Masih dalam pembinaan. Ia diambil dari jalan utama. Bumbung rumah ini segaja dibina bertingkat kerana irumah ini 2 tingkat. Binaan bumbung seperti ini akan menjadikan:
a. Keseluruhan rupa bentuk rumah tidak kelihatan. Menjadikan sesiapa yang melihat dari luaran akan ada keinginan mereka untuk melihat susun atur dalaman.

b. Mempastikan setiap ruang dalaman rumah akan dapat menerima laluan angin keluar/masuk. Tidak  terhalang dan dapat mengekalkan suasana sejuk pada rumah. 
Pakok besar di belakang rumah ini adalah pokok-pokok asal yang sengaja dikekalkan bagi mengawal suhu persekitaran rumah. Walaupun dalam jangka panjang ia akan menjadikan runag laman kotor tapi kekotoran itu mejadi kewajipan kami membersih secara berkala. Faedah besar pada kami ialah kegiatan itu menjadi badan sihat.
  BINAAN BUMBUNG RUMAH

Pandangan dari atas yang menunjukkan binaan bumbung rumah yang berlapis-lapis dan bertingkat. Reka bentuk seperti ini akan menggunakan kos yang tinggi kerana beberapa faktor berikut: 
1. Penggunaan bahan binaan yang bertambah.
2. Kos boroh yang tinggi.terutamanya kepakaran tukang kayu.
3. Tempoh pembinaan yang panjang.
4. Peratus pembaziran bahan binaan, masa dan tenaga kerja yang tinggi.

Selepas semua kerja-kerja binaan siap, kesan kos yang paling memeritkan ialah kos penyelenggaraan yang tinggi sepanjang masa. Sebab itu dalam industri pembinaan sekarang rumah sebegini tidak digemari oleh orang ramai. Hanya sesetengah pemilik sahaja yang mampu membina, menjaga dan menambah baik rumah seperti ini sepanjang masa. 

Sebelum keputusan muktamat diambil oleh mana-mana pemilik bagi membina rumah seperti ini, pemilik harus mempertimbangkan keputusan itu beberapa kali atas sebab-sebab seperti berikut: 
Untuk membina sesuatu kediaman secantik mungkin tidak menjadi masalah, tetapi masalah paling besar ialah mengekalkan kecantikan, kebersihan dan kelihatan kemas pada sepanjang masa . Ia menjadi beban yang sangat berat kepada pemilik.

PANDANGAN HADAPAN SEMASA PEMBINAAN

Terdapat binaan tiang dihadapa rumah yang belum disiapkan. binaan tiang itu adalah untuk Pintu Pagar rumah dimana Pintu Gerbang berbumbung akan dibina bagi melindungi pintu pgar kayu dari terkena hujan.


jumpa lagi



No comments:

Post a Comment